Keadaan motosikal ditunggang seorang anggota tentera yang maut dengan keadaan putus tangan kanan selepas bertembung dengan sebuah motosikal lain dan kereta ketika memotong sebuah kereta di Jalan Padang Kemunting, Masjid Tanah, awal pagi tadi.

ALOR GAJAH – Seorang anggota tentera maut dengan keadaan putus tangan kanan selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal dan kereta ketika memotong kenderaan di Jalan Padang Kemunting, Masjid Tanah di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi itu, mangsa lelaki berusia 26 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan putus tangan kanan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintenden Muhammad Zaki Ramat berkata, ketika kejadian, mangsa datang dari arah Sungai Udang menghala ke Pengkalan Balak.

“Siasatan awal mendapati, nahas dipercayai berpunca apabila mangsa memotong sebuah kenderaan di hadapannya sehingga memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal dan kereta dari arah bertentangan.

Lokasi kejadian seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal dan kenderaan lain ketika memotong sebuah kereta di Jalan Padang Kemunting, Masjid Tanah, awal pagi tadi.

“Impak nahas menyebabkan mangsa maut di lokasi akibat parah di kepala selain putus tangan kanan, manakala penunggang sebuah lagi motosikal patah kaki dan tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Zaki berkata, mangsa berusia 18 tahun yang cedera dihantar ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut, manakala pemandu kereta, wanita berusia 29 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik BSPTD Alor Gajah, Inspektor Loh Gia Xao di talian 019-5382353 atau hadir ke balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast