KUALA LUMPUR – Pengerusi Urimai, P Ramasamy mempersoalkan kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan pengaruhnya susulan isu laluan kapal Malaysia di Selat Hormuz yang kini berdepan sekatan.
Dakwanya, walaupun Anwar sering digambarkan sebagai antara pemimpin berpengaruh dalam dunia Islam, situasi semasa menunjukkan sebaliknya.
Ini apabila Malaysia didakwa tidak mendapat kelonggaran daripada Iran berhubung pergerakan kapal negara membawa bahan api melalui selat itu.
“Jika benar Perdana Menteri mempunyai pengaruh besar, isu laluan kapal Malaysia yang membawa bekalan bahan api tidak sepatutnya timbul,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramasamy berkata, ketika ini Iran dilaporkan hanya memberi kebenaran kepada beberapa negara seperti China, India, Pakistan, Jepun dan Rusia untuk melalui Selat Hormuz tanpa gangguan.
Katanya, keadaan itu menimbulkan persoalan memandangkan kira-kira 50 peratus bekalan bahan api Malaysia bergantung kepada laluan strategik tersebut.
“Perdana Menteri sepatutnya menggunakan saluran diplomatik bagi memastikan kapal Malaysia mendapat laluan selamat, memandangkan kepentingannya kepada bekalan tenaga negara,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan sama ada Malaysia berada dalam kedudukan kurang baik di mata Iran susulan perkembangan geopolitik semasa.
Menurut Ramasamy, persepsi itu mungkin dipengaruhi oleh tindakan Malaysia yang dilihat tidak berkecuali, termasuk membenarkan kapal tentera laut Amerika Syarikat (AS) berlabuh di Pulau Pinang baru-baru ini.
“Bagaimana Malaysia boleh memberi kebenaran sedangkan kapal tersebut dalam perjalanan ke zon konflik di Asia Barat? Ini memberi gambaran bahawa Malaysia memihak kepada Amerika Syarikat,” katanya.
Beliau berkata, persepsi sedemikian boleh menjejaskan hubungan Malaysia dengan Iran yang memberi kesan kepada kepentingan strategik negara termasuk laluan bekalan bahan api.
Tambah beliau, sekiranya harga bahan api meningkat akibat ketegangan tersebut, kerajaan tidak boleh lepas tangan kerana kegagalan mengekalkan pendirian berkecuali.
“Rakyat tidak sepatutnya menanggung kesan kenaikan harga bahan api sedangkan Malaysia sendiri merupakan negara pengeksport bahan api ke luar,” tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan menilai semula pendekatan diplomatik negara agar kepentingan ekonomi dan kebajikan rakyat terus terpelihara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik semasa. – MalaysiaGazette
















