Kompleks Mahkamah Kota Bharu

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan menolak rayuan pendakwa raya untuk mengetepikan pembebasan seorang pegawai kesihatan daripada tujuh pertuduhan melakukan seks luar tabii terhadap seorang pemilik kedai yang disaman Kementerian Kesihatan.

Hakim Hasbullah Adam mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Pasir Mas yang melepas dan membebaskan Mohd. Faris Helmi Ab. Rahim, 38, tanpa memanggilnya membela diri terhadap semua pertuduhan.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap mangsa dalam kereta di hadapan sebuah sekolah agama di Pasir Mas dan di hadapan stesen minyak di Salor pada waktu siang di antara 29 Julai 2019 dan 28 September 2021.

Pegawai pejabat kesihatan sebuah daerah itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Menurut penghakiman bertulis bertarikh 7 Mac lalu, perkenalan di antara Mohd. Faris Helmi dengan mangsa bermula pada 26 Julai 2019 ketika lelaki itu yang bertugas sebagai pegawai kesihatan melakukan serbuan ke atas kedai milik mangsa dan seterusnya mengeluarkan saman.

Ekoran serbuan itu, mangsa hadir di pejabat kesihatan tersebut dan berurusan dengan tertuduh sebelum menjalin hubungan dan saling berbalas mesej dan berkongsi gambar peribadi melalui aplikasi WhatsApp.

Penghakiman bertulis setebal 19 muka surat yang diperoleh MalaysiaGazette melalui laman web kehakiman menyatakan, dalam laporan polis yang dibuatnya, mangsa antara lain mendakwa pegawai perubatan itu meminta gambar bogel dan menyebabkannya terpedaya dan menyerahkannya.

“Walau bagaimanapun, perbualan WhatsApp menunjukkan mangsa sendiri yang menghantar gambar-gambar tanpa diminta atau dipaksa mahupun dipujuk rayu dengan ayat-ayat yang mengujakan.

“Malah, mahkamah mendapati perbualan WhatsApp menunjukkan kedua-duanya saling berhubungan dan berkongsi gambar masing-masing.

“Mangsa mengaku tidak mampu menolak perbuatan tertuduh terhadapnya kerana diugut bahawa gambar-gambar bogelnya akan disebarkan,” demikian menurut penghakiman tersebut.

Namun, Mahkamah Tinggi berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pertuduhan, kredibiliti mangsa diragui kerana percanggahan keterangan manakala tiada keterangan sokongan apabila keterangan mangsa dicabar.

Oleh yang demikian, Hakim Hasullah berpuas hati tidak wujud alasan bermerit untuk mengganggu dapatan dan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan Mohd. Faris Helmi daripada ketujuh-tujuh pertuduhan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast