PELABUHAN KLANG – Pada saat jutaan warga kota seronok menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman, ada sekumpulan wira yang hanya mampu memandang ufuk laut yang tidak bertepi.
Di atas kapal KM Danga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Aidilfitri bukan tentang persalinan indah atau keriuhan sanak saudara, tetapi tentang sebuah pengorbanan yang dibalut dengan seragam operasi.
Bagi kru kapal ini, udara laut adalah wangian raya mereka dan deruan ombak yang memukul lambung kapal adalah irama takbir yang menemani tugas.
Di sebalik gelombang yang adakalanya menguji ketabahan, mereka berdiri teguh sebagai benteng pertama memastikan keamanan negara menjadi ‘hadiah Aidilfitri’ paling berharga buat rakyat di daratan.
Namun, di sebalik wajah tegas dan disiplin yang kental, terselit sekeping hati yang merintih sayu.

Bagi Laskar Kelas II Maritim Muhammad Hafizul Osman yang baru berusia 22 tahun, dia tidak mampu menyembunyikan getar pada suaranya.
Baru lima bulan menggalas amanah, anak muda kelahiran Kinabatangan, Sabah ini akur Syawal kali ini tidak akan dimulakan dengan ciuman tangan ibu dan ayahnya.
“Perasaan saya… mula-mula itu agak sedih. Ini tahun pertama saya beraya tanpa keluarga.
“Sebelum ini, dari kecil sampai umur 21 tahun, saya tidak pernah berenggang dengan mereka pada pagi raya,” luahnya kepada MalaysiaGazette.

Bagi Muhammad Hafizul, kebiasaan bangun pagi di pagi raya dengan juadah hari raya masakan ibu kini diganti dengan jadual bertugas dan laut yang bergelora.
Tetapi, inilah sebuah tekad yang luar biasa iaitu pengorbanan yang diberikan kerana rasa cintakan pada tanah air.
“Saya kena kuat, kena biasakan diri merantau demi tugas untuk negara. Ini lebih penting, menjaga perairan kita daripada sebarang perkara yang tidak diingini,” katanya.
Walaupun ribuan kilometer memisahkan KM Danga dengan Kinabatangan, doa dan ingatan Muhammad Hafizul tetap melintasi lautan.
“Buat mak dan ayah di kampung, jangan risaukan saya di sini. Saya selamat bersama rakan-rakan anggota dan pegawai yang bertugas. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.
“Insya-Allah ada rezeki nanti saya balik kampung.”

Rasa yang sama turut dizahirkan oleh kru KM Danga yang lain.
Pengorbanan ini adalah janji setia mereka kepada negara.
Pada Ketika rakyat Malaysia mungkin sedang nyenyak tidur atau bersantai bersama keluarga, wira-wira ini terus memasang mata di sempadan.
Mereka adalah ‘penjaga pintu’ yang memastikan tiada penceroboh atau jenayah rentas sempadan yang mencemari kesucian Syawal.
Kemenangan Aidilfitri bukan terletak pada juadah yang terhidang, tetapi pada kedaulatan perairan yang berjaya dipertahankan.
Biarlah mereka berhari raya di tengah laut, asalkan rakyat di darat dapat menyambutnya dengan aman dan tenang. – MalaysiaGazette
















