KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan 3,826 pemeriksaan dan pemantauan imigresen (Ops Pantau) ke atas warga asing di lokasi dikenal pasti di seluruh negara sepanjang 20 hingga 24 Mac lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, aktiviti penguatkuasaan itu bagi memastikan status serta dokumen perjalanan warga asing adalah sah.
“Ia memastikan tindakan penguatkuasaan berjalan dengan teratur, terkawal dan berintegriti termasuk ketika musim perayaan, bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara terus terpelihara.
“JIM mengambil kira sensitiviti warga asing yang menyambut perayaan jauh dari keluarga dengan memastikan setiap pemeriksaan dilaksanakan secara terkawal, berhemah dan profesional.
“Pendekatan ini juga bertujuan mengurangkan kegusaran serta ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya di lokasi tumpuan awam,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abd Samad menggesa JIM Selangor mendedahkan statistik penuh hasil Ops “Omnipresent” dari 20 hingga 22 Mac lalu.
Iskandar berkata, JIM Selangor perlu mendedahkan secara terperinci operasi tersebut merangkumi jumlah individu diperiksa, jumlah yang memiliki dokumen sah, jumlah yang ditahan untuk siasatan dan jumlah yang akan dihantar pulang.
Menurut Zakaria, pegawai penguat kuasa di lapangan sentiasa diingatkan untuk mematuhi disiplin serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, di samping menghormati sensitiviti budaya dan norma setempat.
“Penguatkuasaan Imigresen tidak tertakluk kepada musim tertentu memandangkan pelanggaran undang-undang boleh berlaku pada bila-bila masa.
“Dari sudut taktikal, tempoh tertentu termasuk musim perayaan boleh menyokong keberkesanan pengesanan berdasarkan pola pergerakan serta tumpuan individu di lokasi tertentu.
“Walau bagaimanapun, setiap tindakan dilaksanakan berasaskan risikan dan keperluan penguatkuasaan, bukan faktor masa semata-mata,” katanya.
Katanya lagi, JIM komited untuk terus mengimbangi keperluan penguatkuasaan undang-undang dengan kepekaan terhadap norma serta keharmonian masyarakat.
“Setiap tindakan dilaksanakan berlandaskan prinsip profesionalisme, integriti dan tanggungjawab dalam memelihara keselamatan serta kedaulatan negara, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















