KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli memberi bayangan bahawa identiti individu dikenali sebagai “Mr R” dalam kontroversi dakwaan mafia korporat boleh dikenal pasti menerusi sidang media Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan sendiri.
Rafizi berkata, jawapan mengenai siapa ‘Mr R’ sebenarnya sudah tersedia dan tidak sukar untuk dirungkai.
“Saya dah tengok sidang media Ahli Parlimen Sungai Buloh dan juga Naib Presiden PKR, Datuk Seri Ramanan, pasal siapa ‘Mr R’, siapa yang dapat RM9.5 juta dari kalangan Ahli Parlimen PKR.
“Semua jawapan sebenarnya dah ada. Sebenarnya kita boleh namakan sahaja siapa ‘Mr R’ itu,” katanya dalam video pendek dalam Facebook sebentar tadi.
Beliau bagaimanapun mempersoalkan fokus sidang media tersebut yang menurutnya lebih tertumpu kepada serangan terhadap dirinya.
“Tapi dihabiskan lebih daripada 50 peratus sidang media itu maki saya,” katanya.
Rafizi berkata beliau akan memberikan penjelasan lanjut dalam tempoh terdekat.
“Saya ada dua tiga kerja lain. Ini hari pertama balik pejabat, orang nak beraya lagi.
“Jadi berilah tiga empat jam, insya-Allah saya akan jawab, paling lambat malam ini.
“Orang nak beraya pun susah,” ujarnya. -MalaysiaGazette















