Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin melahirkan kebimbangan kenaikan harga diesel kepada RM5.52 seliter (bagi semenanjung) bakal menambah tekanan kepada pesawah padi yang kini berdepan keadaan mencabar.

Beliau berkata sebahagian pesawah berada dalam musim menuai manakala ada yang sedang membuat persiapan bagi musim baharu, dalam keadaan negara turut dilanda kemarau.

“Banyak kawasan sawah menyaksikan padi menjadi hampa. Hasil sudah terjejas, pesawah terpaksa menanggung kos tambahan akibat kenaikan diesel hingga ada yang mengalami kerugian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah Zainuddin

Menurutnya, keadaan itu diburukkan lagi apabila jentera penuai dan pembajak masih tidak termasuk dalam skop bantuan BUDI-Agri Madani.

Katanya, kadar subsidi RM160 sehektar bagi kerja membajak dan RM50 sehektar bagi tuaian juga tidak lagi mencerminkan kos semasa.

Hamzah turut mempersoalkan pelaksanaan insentif tunai RM600 kepada pesawah, termasuk dakwaan bantuan itu tidak diterima bagi dua musim berturut-turut.

Beliau berkata kegagalan menangani isu berkenaan dengan segera berisiko menjejaskan keselamatan bekalan makanan negara.

“Jika tidak ditangani segera, krisis harga minyak boleh bertukar menjadi krisis keselamatan makanan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan merangka pelan kontinjensi nasional dengan mengambil kira ketegangan di rantau Teluk serta lebih terbuka menerima teguran.

Katanya, negara memerlukan kepimpinan yang memahami realiti rakyat dan bertindak secara jujur dalam menangani isu semasa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast