Muhammad Faizzuddin Mohd Zai
Muhammad Faizzuddin Mohd Zai

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Selangor mendesak kerajaan menaikkan kadar bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi di Semenanjung bagi memastikan kos operasi petani dan pekebun kecil tidak terus melebar berbanding kumpulan yang menikmati harga diesel bersubsidi.

Naib Ketua Pemuda Pas Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai menegaskan jurang kos yang ketara ketika ini berisiko memberi kesan besar kepada kelangsungan sektor pertanian dan seterusnya pengguna di negara ini.

“Dewan Pemuda Pas Selangor mendesak agar Kerajaan menaikkan kadar jumlah BUDI Agri-Komoditi di Semenanjung bagi memastikan kos bersih petani di Semenanjung tidak terlalu ketara dengan harga bersubsidi RM2.15.

Adalah tidak adil sekiranya mereka dibiarkan menanggung beban kenaikan harga pasaran global sementara sektor lain terus dilindungi dengan harga subsidi terus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan peranan kepimpinan kerajaan dalam memastikan keadilan kepada petani dan pekebun kecil yang tidak menikmati subsidi diesel secara langsung.

“Menurut data kementerian kewangan bertarikh 19 Jun 2024, dianggarkan hampir 400,000 petani dan pekebun skala kecil berkelayakan menerima manfaat daripada BUDI Agri-Komoditi di Semenanjung.

“Walaupun pihak Kerajaan telah menaikkan bantuan interim kepada RM300 sebulan bermula 17 Mac lalu, angka ini terbukti tidak mencukupi untuk mewujudkan kesamarataan kos antara petani dan penternak kecil  di Semenanjung dengan kumpulan lain yang menikmati harga subsidi,” katanya.

Jelas Muhammad Faizzuddin lagi, berdasarkan purata penggunaan 300 liter diesel sebulan, pengguna subsidi hanya membayar RM645 sebulan, manakala penerima BUDI MADANI terpaksa menanggung kos sekitar RM1,356 sebulan selepas bantuan, mewujudkan jurang RM711 sebulan atau RM8,532 setahun.

Beliau turut menegaskan bantuan RM300 hanya mampu menyamai kos jika penggunaan diesel tidak melebihi 89 liter sebulan, angka yang dianggap tidak realistik bagi operasi pertanian aktif kerana diesel merupakan “oksigen” kepada perniagaan mereka.

Beliau berkata, petani dan pekebun kecil adalah tulang belakang sekuriti makanan negara dan tidak wajar dibiarkan menanggung beban kenaikan harga pasaran global secara bersendirian.

Untuk rekod, Program BUDI Agri-Komoditi merupakan inisiatif bantuan tunai kerajaan yang disasarkan khusus kepada petani, pekebun dan penternak kecil bagi mengurangkan kesan kenaikan harga diesel pasaran.

Program ini diperkenalkan sebagai mekanisme sokongan bersasar supaya golongan pengeluar makanan tidak terbeban sepenuhnya dengan kos operasi yang semakin meningkat, sekali gus membantu mengekalkan kestabilan rantaian bekalan makanan negara.

Melalui bantuan bulanan sebanyak RM200 yang disalurkan, program ini bertujuan memastikan aktiviti pertanian dan agri-komoditi kekal berdaya saing, terutama bagi pengusaha berskala kecil yang bergantung kepada diesel untuk jentera, pengangkutan hasil dan operasi ladang.

Inisiatif ini juga dilihat sebagai langkah penting dalam memperkukuh sekuriti makanan negara serta mengekang kenaikan harga makanan daripada terus dipindahkan kepada pengguna. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast