Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Saari hadir untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 27 MAC 2026.

SHAH ALAM – Kerajaan tidak bercadang untuk memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan konflik Asia Barat dan kesannya kepada ekonomi negara susulan gangguan bekalan minyak dunia kian meruncing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai permulaan, beliau mahu rundingan dan perbincangan dengan semua kepimpinan negeri dan parti dilakukan terlebih dahulu.

“Kita bincang dulu, kita bincang dengan Menteri Besar, kita bincang dengan pemimpin parti. Sidang khas parlimen itu biar ada perencanaan apa rancangan kita mengatasi kita boleh bincang secara konkrit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Saari hadir untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam. Foto SADIQ SANI, 27 MAC 2026.

Terdahulu, Perdana Menteri bercadang untuk mengadakan rundingan dengan semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Premier serta pemimpin parti politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang pada minggu depanb.

Ia bagi membincangkan berhubung kesan gangguan bekalan minyak dunia akibat konflik Asia Barat terhadap ekonomi negara hingga memaksa kerajaan mengambil langkah drastik termasuk mengurangkan kuota Budi Madani RON95.

Ditanya mengenai rizab minyak Petronas yang boleh bertahan sehingga Mei susulan pelaksanaan Budi Madani RON95, Perdana Menteri yakin bekalan mampu bertahan sehingga dua bulan lagi.

“Setakat ini, Mei masih boleh tapi kita juga cari jalan-jalan (lain) kerana keistimewaan Petronas ini kerana pelaburannya itu pelbagai, bukan sahaja di negara Teluk tetapi di Brazil, Suriname dan Kanada.

“Jadi kita cari jalan supaya dapat pulangan dan juga hasil di sini dan memenuhi keperluan tempatan,” ujarnya.

Katanya lagi, semua pihak perlu bersama dengan kerajaan dan mengetepikan persengketaan politik ketika negara berdepan dengan ketidaktentuan bekalan minyak dunia susulan konflik Asia Barat.

“Setakat ini alhamdulillah, kalau sudah lihat keadaan gawat di beberapa negara sekeliling kita. Kita harus bersyukur dan jangan terlalu leka dan terlalu sibuk dalam soal-soal politik, kita tumpu untuk membela nasib rakyat dan negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast