PONTIAN – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan permohonannya kembali menyertai parti berkenaan.
Jelasnya, surat permohonan sudah dihantar pada 16 Mac lalu namun tidak mahu mendahului keputusan yang akan dibuat kepimpinan tertinggi parti.
“Surat permohonan sudah diserahkan, 100 peratus diterima atau tidak itu saya tidak pasti. Saya serah kepada pihak UMNO untuk putuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Mohd Sumali Reduan di Jalan Parit Ismail, Benut di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Tengah hari tadi, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, permohonan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan bekas pemimpin UMNO lain untuk menyertai semula parti akan dibawa dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 17 April ini.
Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa memberitahu, perbincangan akan dilakukan berdasarkan semangat Rumah Bangsa namun tidak pasti keputusan permohonan mereka diputuskan dalam mesyuarat tersebut atau sebaliknya.
Hishammuddin, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang digantung keahliannya enam tahun.
Sementara Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar turut dipecat UMNO berikutan pelanggaran disiplin sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Penggantungan dan pemecatan pemimpin UMNO tersebut diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO pada 27 Januari 2023.- MalaysiaGazette
















