KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengemukakan pelan tindakan yang lebih menyeluruh dan meyakinkan bagi menghadapi cabaran ekonomi susulan konflik di Asia Barat serta peningkatan kos sara hidup, bukannya hanya tertumpu kepada pemotongan kuota subsidi semata-mata.
Jawatankuasa Eksekutif Pusat Parti MUDA dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum perutusan khas Perdana Menteri berhubung situasi semasa, namun berpandangan pengumuman yang dibuat setakat ini masih belum cukup komprehensif untuk menangani impak yang bakal dihadapi rakyat.
Menurut parti itu, meskipun tidak berada dalam kerajaan Madani, MUDA tidak bercadang untuk menjadi pembangkang yang membangkang secara membuta tuli, sebaliknya komited untuk tampil dengan cadangan konstruktif demi kepentingan negara.
“Dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA pada 27 Mac 2026, MUDA mengemukakan lima cadangan utama susulan kekurangan pelan menyeluruh daripada pihak kabinet.
“Cadangan pertama menyentuh keperluan mempercepat pembangunan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV), yang kini masih belum mencapai sasaran, selain mencadangkan pelepasan duti import sementara bagi kenderaan elektrik sepenuhnya (CBU) bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil,” katanya.
Kedua kata jawatankuasa itu, MUDA mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan diskaun cukai jalan khususnya bagi kenderaan melebihi 2,000cc termasuk kenderaan komersial, bagi membantu mengurangkan beban kos operasi rakyat dan peniaga.
Ketiga, parti itu menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membentangkan pelan menyeluruh bagi memperkukuh pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, termasuk kemungkinan penambahbaikan mekanisme sedia ada serta pelaksanaan skim kawalan harga jangka pendek.
Selain itu, MUDA turut memberi perhatian kepada isu keterjaminan makanan susulan konflik yang menjejaskan pengeluaran baja dan rantaian bekalan global, termasuk potensi kesan penutupan Selat Hormuz.
“Sehubungan itu, kementerian berkaitan digesa mengumumkan pelan segera bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan harga kekal stabil,” ujarnya.
Sekretariat itu berkata, cadangan kelima pula menyokong penubuhan jawatankuasa dwipartisan seperti yang disarankan Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bagi membincangkan langkah menyeluruh menangani krisis berkenaan tanpa mengira perbezaan politik.
Pada masa sama, MUDA turut mempersoalkan ketiadaan penglibatan aktif menteri-menteri kabinet lain dalam mengemukakan pelan tindakan kementerian masing-masing setakat ini.
Menurut kenyataan itu, pengumuman kerajaan tidak seharusnya terhad kepada pemotongan kuota subsidi, sebaliknya perlu disusuli dengan pelan yang komprehensif kerana isu berkenaan memberi kesan langsung kepada seluruh rakyat Malaysia.
MUDA menegaskan akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang efektif dan konstruktif demi memastikan kepentingan rakyat dan negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette
















