KUALA LUMPUR – Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau menyifatkan tindakan pihak tertentu yang mengkritik pemakaian tradisonal oleh beliau selama ini sebagai tidak berasas.
Beliau menegaskan, serangan politik tersebut langsung tidak memberi kesan kepada kerja dan matlamatnya untuk terus berkhidmat demi kepentingan rakyat.
“Politik tidak sepatutnya menjadi semurah ini. Rakyat lebih mengambil berat tentang keadaan ekonomi, kesejahteraan hidup dan hala tuju masa depan negara.
“Kami jelas dengan matlamat kami membela rakyat dan memperjuangkan masa depan negara yang lebih baik.
Sebelum ini, Dominic memuat naik hantaran dan beberapa keping gambar ketika mengunjungi Rumah Terbuka Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 21 Mac lalu.
Beliau berkata, pemakaian baju Melayu lengkap bersongkok itu adalah sebagai tanda hormat terhadap sambutan Aidilfitri serta mencerminkan semangat perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Mengulas lanjut, Dominic menambah, di Malaysia, bagi sesiapa yang benar-benar percaya kepada kepelbagaian budaya, memakai pakaian tradisional Cina adalah tanda penghargaan terhadap budaya sendiri.
Jelas beliau lagi, memakai baju Melayu dan bersongkok pula adalah tanda hormat kepada budaya negara.
“Jika perkara asas seperti ini pun dijadikan bahan serangan, maka masalahnya bukan pada saya tetapi pada mereka yang tidak mempunyai sikap toleransi.
“Apabila pihak tertentu tidak lagi berhujah tentang dasar dan prinsip, tetapi turun menyerang perkara seperti “apa yang dipakai”, itu sebenarnya menunjukkan mereka sudah ketandusan hujah yang lebih kukuh.
“Politik tidak sepatutnya menjadi semurah ini. Rakyat lebih mengambil berat tentang
keadaan ekonomi, kesejahteraan hidup, dan hala tuju masa depan negara.
“Bukan sibuk menilai warna atau jenis pakaian seseorang setiap hari. Pendekatan saya sentiasa mudah: melakukan perkara yang betul dan menyuarakan apa yang perlu disuarakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















