Igor Tudor. Foto BBC.

LONDON – Tottenham Hotspur mengambil tindakan drastik apabila memecat jurulatih Croatia, Igor Tudor selepas keputusan itu dibuat secara persetujuan bersama.

Berita pemecatan pengendali pasukan itu diumumkan Spurs dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi mereka hari ini.

“Kami boleh mengesahkan bahawa ia telah dipersetujui bersama untuk Ketua Jurulatih, Igor Tudor meninggalkan kelab berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial kelab.

Selain Igor Tudor, Tomislav Rogic dan Riccardo Ragnacci turut meninggalkan kelab dan kelab itu mengucapkan terima kasih atas komitmen selama enam minggu di Tottenham Hotspur.

“Tomislav Rogic dan Riccardo Ragnacci juga telah meninggalkan peranan masing-masing sebagai jurulatih penjaga gol dan jurulatih fizikal.

“Kami berterima kasih kepada Igor, Tomislav dan Riccardo atas usaha mereka selama enam minggu yang lalu, di mana mereka bekerja tanpa jemu.

“Kami juga mengakui kesedihan yang dialami Igor baru-baru ini dan menghantar sokongan kami kepada beliau dan keluarganya pada masa yang sukar ini,” kata kelab itu dalam satu hantaran di laman media X.

Untuk rekod, Igor Tudor hanya sempat menggalas tugas sebagai ketua jurulatih Spurs selama tujuh perlawanan sejak 14 Februari lalu dengan lima kekalahan, satu kemenangan dan satu keputusan seri dalam dua kejohanan iaitu Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Juara-Juara (UCL).

Selain itu, kelab London itu kini hanya satu mata di atas zon penyingkiran dalam saingan liga. – Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast