Timbalan Pengerusi BERSIH, Kelvin Lee See Kiang (dua kanan hadapan) bergambar bersama sebahagian mahasiswa selepas selesai sidang media Sekretariat Tangkap Azam Baki di Rumah Mandiri, Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 Mac 2026.
Timbalan Pengerusi BERSIH, Kelvin Lee See Kiang (dua kanan hadapan) bergambar bersama sebahagian mahasiswa selepas selesai sidang media Sekretariat Tangkap Azam Baki di Rumah Mandiri, Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 Mac 2026.

PETALING JAYA — Gelombang #TangkapAzamBaki kembali memuncak apabila Sekretariat Tangkap Azam Baki mengumumkan akan sekali lagi turun ke jalan raya pada 25 April ini di Dataran Merdeka.

Himpunan itu dianjurkan bagi menuntut siasatan lebih menyeluruh dan telus terhadap isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta dakwaan membabitkan mafia korporat yang didakwa menjejaskan reputasi SPRM.

Menurut Timbalan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Kelvin Lee, keputusan untuk kembali berhimpun dibuat susulan ketiadaan penjelasan tuntas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Kerajaan Madani berhubung isu berkenaan.

“Sekretariat Tangkap Azam Baki mengambil keputusan untuk sekali lagi turun ke jalan raya bagi menuntut siasatan yang lebih menyeluruh dan telus terhadap isu pemilikan saham Azam dan mafia korporat yang terpalit sehingga menjejaskan reputasi dan integriti SPRM.

“Kedua-dua isu ini sehingga ke hari ini belum ada penjelasan yang jelas, telus dan tuntas daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani,” katanya dalam sidang media di Rumah Mandiri, di sini, hari ini.

Bulan lalu, Himpunan Tangkap Azam Baki yang diadakan di Putrajaya turut menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Azam, namun sehingga kini tuntutan tersebut masih belum dipenuhi.

Dalam pada itu, Kelvin mendakwa jawatankuasa yang ditubuhkan Kabinet bagi meneliti isu berkenaan sekadar taktik melengah-lengahkan perhatian rakyat daripada perkembangan sebenar siasatan.

“Buktinya sehingga kini belum ada apa-apa pengumuman daripada jawatankuasa ini walaupun sudah sebulan mereka ditubuhkan,” katanya.

Tambah beliau, pendedahan demi pendedahan yang timbul gagal disusuli tindakan konkrit, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap integriti institusi penguatkuasaan negara.

“Kita sebagai rakyat sudah mual dan muak dengan kelalaian kerajaan yang culas dalam menangani isu dakwaan korupsi melibatkan SPRM dan isu mafia korporat. Hari ini kita membuat keputusan bahawa kerajaan sudah tidak faham bahasa lagi melainkan bahasa jalan raya,” ujarnya.

Sekretariat itu menegaskan tekanan melalui demonstrasi aman adalah ‘bahasa terakhir’ untuk mendesak kerajaan bertindak tegas serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap SPRM.

“Bahasa jalan rayalah bahasa yang akan menjadi cambuk mendesak mereka melakukan apa yang betul dan tidak membiarkan institusi seperti SPRM terkontang-kanting sementelah integriti mereka terhakis hari demi hari,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diajak menyertai himpunan pada 25 April 2026 di Dataran Merdeka dengan tiga tuntutan utama iaitu: “Menubuhkan satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat tuduhan mafia korporat dalam agensi penguatkuasaan negara; Tangkap Azam Baki dan reformasi SPRM secara total; dan Jamin kebebasan bersuara kepada CSO, aktivis masyarakat, ahli akademik dan seluruh rakyat yang memberi kritikan terhadap isu rasuah dan salah laku.”

Presiden Liga Rakyat Demokratik, Hamdin Nordin, bercakap pada sidang media Sekretariat Tangkap Azam Baki di Rumah Mandiri, Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 Mac 2026
Presiden Liga Rakyat Demokratik, Hamdin Nordin, bercakap pada sidang media Sekretariat Tangkap Azam Baki di Rumah Mandiri, Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 30 Mac 2026

Dalam sidang media sama, Presiden Liga Rakyat Demokratik, Mohammad Norhamdin Nordin, menyifatkan isu Azam sebagai simbol kerosakan institusi yang perlu diselesaikan segera.

“Kita pernah bercakap kita mahukan janji reformasi yang dilaungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar sebelum ini sehingga hari ini masih belum ditunaikan.

“Mereka cuba bermain-main dengan rakyat dan menaburkan janji yang tidak dilakukan untuk memperkukuhkan SPRM,” katanya.

Baru-baru ini, Bloomberg melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan pemfailan korporat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sekali gus mencetuskan semula polemik yang kini membawa kepada kebangkitan semula himpunan #TangkapAzamBaki. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast