Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Nurul Izzah Anwar menafikan dakwaan kononnya beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata dakwaan berhubung perkara tersebut adalah tidak benar dan mengesahkan bahawa beliau masih menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh parti.

“Saya kekal menjalankan amanah ini selaras dengan tanggungjawab dan proses parti serta tiada sebarang perubahan dalam struktur kepimpinan.

“Saya menghargai keprihatinan semua pihak dan menggalakkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada kenyataan rasmi parti bagi mendapatkan maklumat yang sahih,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Spekulasi Nurul Izzah mengosongkan jawatan Timbalan Presiden PKR tular di media sosial baru-baru ini sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan parti.

Anak kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dipilih sebagai Timbalan Presiden parti berkenaan bagi penggal 2025-2028 pada pemilihan tahun lepas apabila menewaskan penyandangnya, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli dalam pertandingan satu lawan satu. — BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast