Gambar hiasan bas persiaran

PUTRAJAYA – Sebarang bentuk perjanjian, persefahaman atau keputusan bersama oleh persatuan berkaitan penetapan harga tambang, termasuk kadar minimum atau siling dilarang kerana mengandungi elemen kartel yang menjejaskan pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata demikian sebagai mengulas pengumuman kadar tambang siling baharu bagi bas atau van persiaran yang dibuat oleh Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (MITA) dan beberapa persatuan semalam.

Beliau berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang meneliti tindakan yang diambil oleh MITA dan persatuan yang terlibat  itu di bawah Seksyen 4(2)(a), Akta Persaingan 2010.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup memandang serius inti pati sidang media MITA yang turut disertai tiga persatuan dan badan lain semalam yang mengumumkan kadar tambang siling baharu bagi bas atau van persiaran yang berkuatkuasa serta-merta.

“Sungguhpun dimaklumi kenaikan harga diesel mendatangkan implikasi kos kepada industri, namun diharapkan semua pihak meneliti sebarang tindakan yang diambil untuk memastikan kepatuhan kepada mana-mana kerangka perundangan yang sedang berkuat kuasa,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

-BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast