GEORGE TOWN – Dewan Usahawan Progresif Malaysia (MPE) menyifatkan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai pemangkin penting bagi penganjuran ASEAN+3 Young Entrepreneurs Summit 2026.
Presidennya, Khoo Chin Wei berkata, sokongan itu dimaklumkan dalam pertemuan strategik bersama Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan negeri, Datuk Rashidi Zinol, sekali gus menandakan persediaan memasuki fasa penting.
“Sidang kemuncak ini dianjurkan MPE dengan kerjasama JCI Penang untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai hab keusahawanan belia serantau.
“Sokongan kerajaan negeri membuktikan komitmen dalam memperkasa generasi baharu pemimpin perniagaan,” katanya.
Tambah beliau, program yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 22 November depan itu dijangka menghimpunkan 400 hingga 500 delegasi dari ASEAN serta rakan dari China, Hong Kong SAR dan Taiwan.
Katanya, sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai komponen akan dilaksanakan termasuk sesi padanan perniagaan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 10 memorandum persefahaman (MoU) antara perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan pelabur antarabangsa.
“Mengangkat tema “Build, Grow, Lead Across Asia”, ia memberi fokus kepada kerjasama perdagangan, inovasi digital dan kepimpinan mampan, selain merangkumi sesi padanan perniagaan, pameran, bengkel serta lawatan industri.
“Penganjuran itu turut dijangka merancakkan pelancongan perniagaan dan mengukuhkan penjenamaan Pulau Pinang sebagai destinasi acara keusahawanan serantau,” katanya. – MalaysiaGazette















