JOHOR BAHRU – Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Johor Bahru, Siti Nor Aisyah Suratnu, 48, dilantik menjadi Ketua Wanita PKR Johor yang baharu.
Ketua Penerangan PKR Johor, Fakharuddin Moslim berkata, Siti Nor Aisyah menggantikan Noor Fatimah Yusoff yang melepaskan jawatan bagi memberi tumpuan memperkasa wanita di peringkat cabang Mersing.
Beliau berkata, ini kerana Fatimah merupakan Ketua Wanita PKR Cabang Mersing.
“Pelantikan Siti Nor Aisyah dibuat berdasarkan pengalaman, rekod kepimpinan serta komitmen tinggi dalam memperjuangkan agenda wanita parti.
“Beliau merupakan Ketua Wanita Keadilan Cabang Johor Bahru dan juga bekas Setiausaha Wanita Keadilan Johor,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.
Fakharuddin berkata, pelantikan itu juga kerana Siti Nor Aisyah menunjukkan kefahaman yang kukuh terhadap parti serta keupayaan untuk memimpin gerak kerja wanita secara menyeluruh di peringkat negeri.
Pengalaman Siti Nor Aisyah katanya, menjadikan beliau seorang pimpinan yang matang, memahami denyut nadi ahli serta cabaran semasa organisasi.
Menurut Fakharuddin, PKR negeri meletakkan harapan agar beliau dapat memperkukuh peranan cabang wanita di Johor sebagai jentera penting parti.
Ketua PKR Cabang Tenggara itu berkata, khususnya dalam mendekati masyarakat, memperjuangkan isu wanita dan keluarga serta memperkasa kepimpinan wanita di semua peringkat.
Selain itu, beliau diharapkan mampu menyatukan kekuatan wanita keadilan negeri bagi menghadapi cabaran politik akan datang dengan lebih tersusun dan berkesan.- MalaysiaGazette
















