KUALA LUMPUR – Tiga warga China yang menggunakan pas disyaki palsu sebagai dokumen sokongan bagi mendapatkan kemudahan visa masuk ke Amerika Syarikat ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaban berkata, tangkapan ini merupakan tindakan susulan selepas JIM berjaya membongkar kegiatan sindiket ini pada 8 Oktober 2025 melalui penahanan enam warga China dan dua lelaki tempatan yang disyaki sebagai ejen sindiket.
Menurutnya, maklumat risikan dan hasil pemeriksaan sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan pada 1 April 2026 pada jam 11.25 pagi telah membawa kepada penahanan seorang lelaki dan dua wanita China kerana memiliki Pas Lawatan Sosial yang disyaki palsu.
Turut disita, tiga keping passport China yang terdapat pelekat Pas Lawatan Sosial (Tanggungan) MM2H yang disyaki palsu.
Zakaria berkata, modus operandi sindiket ini adalah membekalkan pelbagai pas jangka panjang JIM yang palsu dengan harga sehingga RM10,000 sekeping untuk dijadikan sokongan bagi tujuan permohonan visa untuk masuk ke negara Amerika Syarikat.
Pas jangka panjang ini disyaki cuba digunakan untuk mengaburi pihak kedutaan dan memudahkan tapisan permohonan visa.
Kesemua warganegara asing berumur lingkungan 25 hingga 54 tahun tersebut telah ditahan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam perkembangan lain, Zakaria berkata, JIM turut menahan seramai 11 warga China kerana disyaki telah menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Penggajian di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Hasil pemeriksaan di empat buah premis runcit dan restoran di sekitar Dengkil, Selangor pada 31 Mac 2026, jam 10.30 pagi telah membawa kepada penahanan lima warga China kerana disyaki mengoperasikan restoran dan berkerja tanpa pas yang sah.
Kesemua yang ditahan mengemukakan Pas Lawatan Sosial dan masuk sebagai pelancong ke negara ini.

Manakala dalam serbuan lain pada jam 5 petang hari yang sama di sekitar Kepong, Kuala Lumpur, enam wanita China telah ditahan kerana disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dan Pas Penggajian dengan berkerja sebagai tukang urut.
Semua wanita ini juga disyaki menyediakan perkhidmatan tidak bermoral dengan bayaran RM100 hingga RM300 bagi setiap sesi.
Turut ditahan, seorang lelaki Malaysia yang disyaki sebagai majikan dan penjaga premis tersebut.
Enam wanita asing yang berumur lingkungan 28 hingga 53 tahun tersebut telah ditahan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Zakaria berkata, JIM akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – MalaysiaGazette
















