Anwar Ibrahim menyampaikan taklimat khas berkenaan krisis tenaga global kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri di Oerdana Putra, Putrajaya. foto Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri yakin Malaysia akan terus teguh, berdaya tahan serta mampu melindungi rakyat dalam apa jua keadaan dengan semangat kebersamaan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fokus Kerajaan Madani kekal tegas dan tidak berganjak iaitu memastikan kestabilan bekalan, membendung tekanan kenaikan harga serta melindungi rakyat daripada kesan langsung krisis tenaga global.

Menerusi hantaran selepas Mesyuarat Khas Menteri Besar dan Ketua Menteri hari ini, Anwar berkata, pertemuan itu menjadi wadah penting untuk meneliti secara menyeluruh perkembangan krisis tenaga global susulan konflik tersebut.

“Pendekatan yang diambil berteraskan data serta realiti semasa, agar setiap pimpinan negeri dapat bertindak secara selari, bersepadu dan berpaksikan fakta bersama Kerajaan Persekutuan.

“Dalam kerangka ini, kerajaan menggerakkan perancangan senario yang teliti dan menyeluruh bagi mendepani pelbagai kemungkinan, termasuk memastikan kesinambungan bekalan tenaga negara sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan,” katanya.

Beliau berkata, setiap langkah dilaksana dengan penuh tanggungjawab dan pertimbangan, dengan keutamaan jelas untuk menjaga kebajikan rakyat melalui inisiatif sokongan yang bersasar dan berkesan.

Dalam masa sama, libat urus strategik bersama semua pemegang taruh termasuk pihak industri dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terus diperkukuh agar setiap pendekatan bersifat menyeluruh, seimbang dan berimpak tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast