KUANTAN – Sebanyak 7,277 siri Jualan Rahmah Madani telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 2,430 program dalam premis, 262 program luar premis dan 4,606 program bergerak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, statistik tersebut direkodkan sehingga 31 Mac 2026 bagi suku tahun pertama tahun ini.
Jumlah tersebut menunjukkan pelaksanaan yang lebih berfokus berbanding tahun sebelumnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Perasmian Madani Mart di Indera Mahkota 8, di sini hari ini yang telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi.
Katanya, inisiatif berkenaan kekal sebagai antara pendekatan utama kerajaan dalam memastikan rakyat terus mendapat akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
“Malah pada tahun 2025, sebanyak 25,488 siri Jualan Rahmah telah dilaksanakan, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas capaian dan keberkesanan program ini di seluruh negara.
“Dengan pencapaian ini, Madani Mart bukan sekadar pelengkap tetapi langkah seterusnya untuk memastikan manfaat harga rahmah dapat dirasai secara lebih konsisten, tersusun dan dekat dengan rakyat,” katanya.
Tambah Fuziah, dalam masa yang sama, inisiatif tersebut juga membuka peluang keusahawanan dalam ekosistem peruncitan yang lebih tersusun. – MalaysiaGazette
















