KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang wanita selama empat hari sehingga 6 April 2026 kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan perjalanan berjumlah kira-kira RM4 juta.

Perintah reman terhadap suspek berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, wanita yang merupakan pengurus besar sebuah syarikat peranginan itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai bersubahat dengan seorang lelaki, iaitu penyedia perkhidmatan akaun bagi sebuah syarikat perundingan pengurusan perniagaan, yang sebelum ini telah direman pada Rabu lalu.

Kedua-dua suspek disyaki terlibat dalam pengemukaan dokumen palsu membabitkan pelbagai tuntutan, termasuk perjalanan dan pengangkutan, yuran perakaunan, pembelian genset dan diesel, pembayaran kad kredit, tuntutan keraian, perbelanjaan hartanah, loji dan peralatan (PPE), tuntutan tunai runcit, perbelanjaan tidak dikenal pasti, kerja landskap serta pembayaran gaji.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast