Mahkamah Sesyen dan Majistret Petaling Jaya, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 21 NOVEMBER 2025.

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang wanita warganegara Indonesia kerana cuai ketika menjaga bayi asuhannya, Qaseh Aulia Faizul di sebuah taska, sehingga menyebabkan kematiannya, tiga tahun lalu.

Hakim Dr. Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mulyati Kalim, 54, selepas mendapatinya bersalah pada akhir kes pembelaan dan memerintahkan bekas pengasuh itu menjalani hukuman berkuat kuasa serta merta.

Mahkamah turut memerintahkan wanita itu melaksanakan khidmat masyarakat selama 120 jam dalam tempoh enam bulan selepas tamat pemenjaraan.

Selain itu, tertuduh turut diperintahkan menjalani bon berkelakuan baik selama tiga tahun dengan dua penjamin warganegara tempatan serta cagaran RM5,000 selepas selesai hukuman penjara.

Mahkamah juga menolak permohonan pasukan pembelaan untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Beliau berpendapat, cadangan penfailan rayuan bukan justifikasi untuk membenarkan permohonan tertuduh menangguhkan pelaksanaan hukuman.

“Selain itu, mahkamah berpandangan alasan yang dikemukakan bahawa tertuduh pesalah pertama, sentiasa hadir ke mahkamah dan secara konsisten memperbaharui pas lawatan untuk berada di Malaysia, bukanlah termasuk dalam keadaan istimewa yang membolehkan hukuman berkenaan ditunda,” ujarnya.

Semasa prosiding, peguam Badrul Munir Bukhari yang mewakili Mulyati, merayu anak guam dikenakan hukuman ringan atas alasan suaminya yang juga warga tempatan berusia 62 tahun, bekerja sebagai pengawal keselamatan, perlu menyara tiga anak kandung serta seorang anak angkat.

“Sejak insiden ini berlaku pada 10 Oktober 2023, anak guam tidak bekerja malah ini merupakan kesalahan pertamanya,” kata peguam.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kes itu melibatkan nyawa seorang bayi selain mengambil kira hukuman sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Mengikut pertuduhan pindaan, Mulyati didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan ke atas bayi itu, telah bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kematiannya di sebuah taska di Kota Damansara, di sini, pada pukul 9.40 pagi, 10 Oktober 2023.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast