Gambar : APMM Pahang

KUANTAN – Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) kelas C berjaya ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang kerana disyaki melakukan aktiviti menangkap ikan kurang dari 12 batu nautika dari pantai di kedudukan sekitar 7.0 batu nautika Timur Tanjung Agas di sini malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, vesel nelayan itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang menjalankan rondaan rutin Op Makmur, Op Tiris  dan Op Khas Pagar Laut kira-kira pukul 12.15 tengah malam semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan tujuh kru warganegara Vietnam termasuk tekong di mana kesemuanya berusia antara 19 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan.

    Gambar : APMM Pahang

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah peruntukan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menjalankan aktiviti menangkap ikan kurang 12 batu nautika dari pantai, serta kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan.

Mazlan berkata, bot bersama tekong dan kru serta hasil laut yang dianggarkan seberat 300 kilogram telah diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pahang bagi tindakan lanjut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast