KUALA LUMPUR – Penyertaan rakyat pelbagai kaum dan agama dalam misi Global Sumud Flotilla 2.0 disifatkan sebagai gambaran wajah sebenar Malaysia yang bersatu dalam perjuangan kemanusiaan membantu Gaza.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, misi kali ini lebih istimewa apabila turut melibatkan peserta bukan Islam sebagai simbol solidariti rakyat Malaysia.
Menurut beliau, antara peserta yang menyertai misi berkenaan ialah seorang rakyat Malaysia berbangsa India beragama Hindu serta seorang doktor berbangsa Cina beragama Buddha.
“Ini menunjukkan kita datang dengan pasukan yang benar-benar mencerminkan Malaysia. Misi ini bukan milik satu kaum atau agama, tetapi misi kemanusiaan untuk semua,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Hadir merasmikan Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia Ke Gaza serta Delegasi Global Sumud Flotilla 2.0 adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga merupakan Ketua Misi.
Sany Araby turut berkata, penyertaan pelbagai latar belakang itu diharap dapat membawa mesej jelas bahawa perjuangan membantu rakyat Gaza adalah tanggungjawab sejagat tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.
Beliau turut memberitahu jadual penuh pergerakan hanya akan diumumkan secara berperingkat bagi memastikan keselamatan semua peserta terjamin, terutama menjelang ketibaan di pintu Rafah dalam tempoh beberapa hari lagi.
Menurutnya, jadual telah dirangka, namun pihaknya akan memaklumkan dari semasa ke semasa kerana ia melibatkan faktor keselamatan dan strategi operasi.
Sani Araby turut menjelaskan jumlah rasmi peserta hanya akan diumumkan sebaik sahaja kumpulan pertama berlepas atas pertimbangan keselamatan dan strategi.
Dalam perkembangan sama, pihak SNCC turut merancang menyiarkan perjalanan misi secara langsung bagi membolehkan rakyat Malaysia mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa.
Menurutnya, rundingan telah diadakan bersama Kementerian Komunikasi yang diterajui Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bagi merealisasikan siaran langsung tersebut.
“Kita sedang usahakan untuk membuat siaran langsung dari majlis pelepasan di Kaherah dan jika mendapat kebenaran Kerajaan Mesir, kita juga mahu membuat siaran langsung dari pintu sempadan Rafah,” katanya.
Beliau berharap semangat Aidilfitri yang menekankan penyatuan keluarga dan masyarakat mampu diterjemahkan kepada solidariti rakyat Malaysia untuk terus menyokong perjuangan kemanusiaan di Gaza.
Sani Araby turut menggesa orang ramai terus mengikuti perkembangan misi itu serta memberikan sokongan berterusan agar usaha tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya. – MalaysiaGazette
















