Menteri Besar Selangor merangkap Ketua Misi Kemanusiaan Ke Gaza, Datuk Seri Amirudin Shari bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Ahmad Sani Abdul Alim Araby bersorak kata semangat pada sidang media Misi Bantuan Kemanusian 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotila 2.0 di KLIA, Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 06 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Misi kemanusiaan ke Gaza kembali digerakkan menerusi pelancaran Global Sumud Flotilla 2.0 yang disifatkan lebih besar dan tersusun berbanding usaha tahun lalu.

Pelancaran misi itu menandakan kesinambungan usaha bantuan antarabangsa selepas gerakan pertama tahun lalu, yang berjaya mengumpulkan sokongan dunia terhadap nasib rakyat Palestin yang terus berdepan kepungan.

Menurut Ketua Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia Ke Gaza serta Delegasi Global Sumud Flotilla 2.0, Datuk Seri Amirudin Shari, misi kali ini melibatkan hampir 3,000 peserta dari kira-kira 100 negara yang bersatu membawa mesej keamanan serta pembebasan Gaza daripada sekatan berpanjangan.

“Kita cuba mencecah ataupun untuk sampai di bumi Gaza dengan niat kedamaian, dengan niat keamanan dan membebaskan sahabat-sahabat kita dan saudara-saudara kita yang telah terperangkap,” katanya dalam sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Menteri Besar Selangor merangkap Ketua Misi Kemanusiaan Ke Gaza, Datuk Seri Amirudin Shari bersama Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Ahmad Sani Abdul Alim Araby bercakap pada sidang media Misi Bantuan Kemanusian 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotila 2.0 di KLIA, Sepang. Foto MOHD ADZLAN, 06 APRIL 2026.

Turut hadir dalam pelancaran Misi Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia Ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0 itu adalah Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby.

Amirudin turut berkata, sebanyak lebih 300 tan bantuan melibatkan 30 kontena hasil sumbangan orang ramai, individu, syarikat, kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan akan dihantar bagi meringankan beban penduduk di wilayah bergolak itu.

“Anggaran kita 100,000 orang yang akan terkesan ekoran misi bantuan ini kalau kita berjaya melunaskan misi kali ini.

“Ia sudah pasti akan membuka pintu lebih luas kepada kehadiran bantuan-bantuan sokongan yang selama ini ataupun dalam tempoh beberapa tahun ini tersekat dan diganggu oleh rejim Zionis,” katanya lagi.

Untuk rekod, misi bantuan itu akan dimulakan melalui laluan darat dalam masa terdekat sebelum disusuli pelayaran Global Sumud Flotilla 2.0 dari Barcelona, Sepanyol sebagai kesinambungan misi antarabangsa itu.

GSF 2.0 adalah gerakan antarabangsa tanpa kekerasan yang menghimpunkan delegasi pelbagai negara bagi mencabar kepungan ke atas Gaza, menghantar bantuan kemanusiaan dan mewujudkan koridor bantuan awam secara berterusan.

Menurut laman rasmi gerakan itu, misi musim bunga 2026 akan menghimpunkan lebih 80 bot dan lebih 1,000 peserta dari seluruh dunia, dengan pelayaran utama bermula dari Barcelona pada 12 April ini.

GSF berkata, misi itu turut disokong mobilisasi antarabangsa di darat yang menggabungkan solidariti, advokasi undang-undang serta tekanan masyarakat akar umbi merentasi pelbagai negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast