KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi bayangan akan meneliti semula mekanisme kuota subsidi bahan api nelayan susulan rungutan berterusan berhubung had 50 liter sehari bagi vesel Zon A yang didakwa tidak lagi selari dengan realiti operasi semasa.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memaklumkan, pihaknya tidak ‘menutup mata’ terhadap keresahan komuniti nelayan yang bergelut dengan peningkatan kos bahan api dan penyelenggaraan.
“Justeru, sebarang cadangan penambahbaikan terhadap kadar atau mekanisme subsidi akan diteliti secara berperingkat dengan mengambil kira kebajikan nelayan serta keupayaan kewangan negara,” jelas LKIM dalam kenyataan.
Menurut lembaga itu, KPKM memahami kebimbangan serta cabaran yang disuarakan oleh nelayan berhubung isu kuota subsidi bahan api, khususnya had 50 liter sehari bagi vesel Zon A yang menjadi tumpuan utama ketika ini.
Dalam masa sama, LKIM menjelaskan skim subsidi diesel dan petrol nelayan yang diperkenalkan sejak 2006 bukan bertujuan menampung keseluruhan kos operasi sebaliknya sekadar membantu meringankan beban yang ditanggung golongan berkenaan.
“Sejak diperkenalkan pada tahun 2006, skim subsidi diesel dan petrol nelayan bertujuan membantu meringankan sebahagian kos operasi penangkapan ikan dan bukannya menanggung keseluruhan kos operasi,” menurut kenyataan itu lagi.
Penetapan kuota sedia ada dibuat dengan mengambilkira aspek kawalan dan ketelusan selain kedudukan kewangan kerajaan agar pelaksanaan subsidi kekal mampan serta benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.
Bagaimanapun, kerajaan turut mengakui landskap industri perikanan kini berubah termasuk penggunaan teknologi vesel yang lebih moden serta kuasa enjin lebih tinggi yang secara langsung meningkatkan penggunaan bahan api.
Dalam pada itu, nelayan dan rakyat diminta memahami cabaran krisis tenaga global yang memberi tekanan kepada harga bahan api dan kos operasi namun kerajaan menegaskan komitmennya untuk mencari titik keseimbangan terbaik antara kebajikan nelayan dan kestabilan kewangan negara.
Semalam, Timbalan Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (Jaring), Mohd. Faizal Mohd. Zabri berkata, kuota subsidi bahan api sebanyak 50 liter sehari yang diperuntukkan kepada nelayan Zon A tidak lagi relevan dengan keperluan operasi semasa khususnya nelayan yang menggunakan pukat kembong dan rawai di seluruh negara.
Kuota sedia ada tidak mengambil kira perubahan teknologi bot serta penggunaan enjin yang jauh lebih berkuasa, sekali gus menyebabkan kos operasi harian meningkat dan menekan pendapatan mereka.
Jelasnya, kebanyakan nelayan kini menggunakan enjin bot berkapasiti sehingga 200 kuasa kuda (hp) berbanding sekitar 85hp pada masa lalu. – MalaysiaGazette
















