PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menetapkan Rabu ini bagi mendengar rayuan Badan Peguam Malaysia untuk dibenar mencabar keputusan Peguam Negara (AG) menghentikan prosiding kes rasuah terhadap Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Yayasan Akalbudi.
Menurut semakan laman web kehakiman, prosiding dijadual didengar di Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman di sini.
Badan Peguam merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang tidak membenarkannya memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara yang juga pendakwa raya.
Melalui permohonan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan beliau agar Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 4 September 2023, dibatalkan.
Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Badan Peguam bukan sesuatu yang boleh diputuskan oleh mahkamah dan badan terbabit tidak memenuhi peruntukan bagi dibenarkan memulakan prosiding semakan kehakiman.
Amarjeet turut menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga soalan Perlembagaan berhubung perkara berkaitan kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan mahkamah tertinggi itu.
Pada 4 September 2023, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Beliau membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya ketika itu, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) berhasrat memberhenti semua prosiding terhadap Ahmad Zahid.
Sementara itu, dalam penghakimannya Amarjeet berkata, mahkamah menolak permohonan kebenaran berkenaan atas alasan Badan Peguam tidak memenuhi keperluan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman.
Hakim itu berkata, keputusan Peguam Negara dalam perkara terbabit juga tidak boleh dibawa untuk didengar dan diputuskan melalui prosiding semakan kehakiman.
Katanya, Peguam Negara tidak mempunyai kewajipan membekalkan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butiran yang ia bergantung untuk mencapai keputusan bagi memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid, seperti dituntut pemohon.
Amarjeet turut mengarahkan Badan Peguam membayar RM10,000 sebagai kos kepada Peguam Negara.
Dalam permohonannya, Badan Peguam turut memohon perisytiharan keputusan Peguam Negara itu adalah batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa dan kuasa yang diberikan kepada responden pertama mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Turut dimohon, satu perisytiharan keputusan itu tidak munasabah, tercemar dan tidak rasional.
Berikutan itu, Badan Peguam selaku pemohon tunggal, memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Peguam Negara bertindak mengikut undang-undang, dan jika menganggap sesuai dan wajar, untuk bertindak mengikut Seksyen 254A Kanun Prosedur Jenayah dengan mendakwa semula Ahmad Zahid.
Sebagai alternatif, Badan Peguam memohon perintah untuk mengarahkan Peguam Negara membekalkannya dengan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butir-butir yang ia bergantung untuk mencapai keputusan bagi memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette















