KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan meneliti cadangan penambahbaikan subsidi diesel kepada nelayan.
Ia susulan kebimbangan nelayan berhubung had kuota subsidi bahan api, khususnya 50 liter sehari bagi vesel Zon A yang akan dilakukan secara berperingkat dengan mengambil kira kebajikan golongan itu serta kedudukan kewangan negara.
LKIM dalam kenyataan memaklumkan, skim subsidi diesel dan petrol yang diperkenalkan sejak 2006 bertujuan membantu mengurangkan sebahagian kos operasi penangkapan ikan, namun bukan untuk menampung keseluruhan kos tersebut.
Menurut LKIM, penetapan kuota juga dibuat dengan mengambil kira aspek kawalan, ketelusan dan keupayaan fiskal kerajaan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara mampan dan berkesan.
“Pada masa sama, kerajaan mengambil maklum perkembangan semasa industri perikanan termasuk perubahan teknologi vesel serta peningkatan penggunaan kuasa enjin yang memberi kesan kepada penggunaan bahan api.
Sehubungan itu, sebarang cadangan untuk menambah baik kadar atau mekanisme subsidi akan diteliti secara menyeluruh dan berperingkat agar selari dengan keperluan semasa industri serta kemampuan kewangan negara,” katanya.
Menurut LKIM lagi, nelayan dan rakyat turut diseru memahami cabaran global ketika ini, termasuk krisis tenaga dunia yang memberi kesan langsung kepada harga bahan api dan kos operasi.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan komitmennya untuk terus mencari keseimbangan terbaik antara membantu golongan nelayan dan memastikan kestabilan kewangan negara kekal terpelihara. – MalaysiaGazette
















