Jalex Lee En Xiang

JOHOR BAHRU – Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Jalex Lee En Xiang membidas dakwaan Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa konvoi bermotosikal Perikatan Nasional (PN) yang didakwa tidak menggunakan wang rakyat atau kerajaan.

Beliau berkata, kenyataan Menteri Besar Kedah itu bukan sahaja mengelirukan malah cuba memperdaya rakyat kerana peserta konvoi turut menikmati subsidi bahan api RON95 bawah program Budi95.

“Dalam keadaan semasa, saya yakin bahawa peserta konvoi tersebut juga menggunakan subsidi RON95 di bawah Budi95. Sebagai seorang Menteri Besar, beliau sepatutnya memahami bahawa subsidi RON95 adalah hasil daripada kutipan cukai dan pendapatan negara iaitu duit rakyat.

“Hari ini, rakyat menikmati harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter melalui Budi95, berbanding harga pasaran sebenar yang jauh lebih tinggi iaitu RM3.87 seliter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, ia bermakna hampir 50 peratus daripada kos bahan api tersebut ditanggung kerajaan dan secara langsung oleh rakyat.

Justeru dakwaan bahawa konvoi itu tidak melibatkan dana kerajaan adalah tidak tepat sama sekali.

Realiti, ujar beliau, sebahagian besar kos bahan api yang digunakan dalam konvoi tersebut disubsidi dan itu adalah wang rakyat.

Dalam suasana dunia yang sedang berdepan krisis tenaga global, tindakan menganjurkan konvoi sebegini jelas tidak mencerminkan keutamaan sebenar, katanya.

“Rakyat memerlukan penyelesaian bukan retorik politik yang membazir dan tidak membawa manfaat.

“Adalah lebih wajar tenaga dan masa digunakan untuk merangka dasar yang membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup, bukannya menganjurkan program yang secara tidak langsung membebankan kewangan negara,” tegasnya.

Terdahulu, Sanusi Md Nor mempertahankan penganjuran konvoi motosikal PN Sabtu lalu dengan menegaskan, ribuan peserta hadir atas kesedaran sendiri walaupun dunia sedang berdepan krisis tenaga global.

Kelmarin, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar dilaporkan berkata, acara konvoi bermotosikal sempena Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 itu bukan sekadar perjalanan di jalan raya.

Sebaliknya, beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata, itu merupakan simbol perjalanan sebagai satu ummah.

Menurut Menteri Besar Terengganu berkenaan, mereka yang berhimpun dalam Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali ke-5 dan Himpunan Alam Melayu 2026 itu adalah kerana ingin membawa mesej jelas iaitu apabila bersatu, maka ummah akan menjadi kuat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast