Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menyambut baik perkembangan terbaharu dalam perang semasa antara Amerika Syarikat dan Iran, berhubung Pelan 10 Perkara yang dicadangkan oleh Iran dan diterima secara positif oleh Amerika Syarikat (AS).

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan ini memberi petanda baik ke arah pemulihan keamanan dan kestabilan, bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di seluruh dunia.

“Diharapkan proses rundingan akan dijalankan dengan niat baik, disertai iltizam kukuh untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu-isu yang sedang dihadapi di rantau ini.

“Rundingan damai tidak akan berjaya sekiranya prosesnya diselubungi penipuan dan muslihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mneurut Anwar, adalah penting agar Pelan 10 Perkara ini diterjemahkan menjadi satu perjanjian damai yang menyeluruh, bukan sahaja untuk Iran, malah juga Iraq, Lubnan dan Yaman.

Selain itu, tambahnya, pihak-pihak berkepentingan perlu memastikan penamatan genosid dan perampasan hak rakyat Palestin, khususnya di Gaza.

“Saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Pakistan serta Perdana Menteri Shehbaz Sharif atas usaha diplomasi yang tidak mengenal penat lelah dan berani sehingga membawa kepada detik ini.

“Kesediaan Pakistan untuk berunding dengan semua pihak tanpa rasa takut atau pilih kasih mencerminkan tradisi terbaik solidariti umat Islam dan tanggungjawab antarabangsa. Malaysia bersedia untuk menyokong adan melengkapi segala usaha ke arah ini,” ujarnya.

Anwar berkata, Malaysia juga menyeru masyarakat antarabangsa untuk memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada semua penduduk awam yang terjejas akibat perang ini.

“Semoga ini menjadi titik perubahan ke arah keamanan yang berkekalan. Dunia tidak mampu menerima sebarang kegagalan daripadanya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast