KUALA LUMPUR – Seramai 69 warga asing ditahan dalam Ops Gegar yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah pusat hiburan sekitar Jalan Imbi, malam tadi.
JIM dalam kenyataan di laman sosial Facebook memaklumkan, operasi bermula pukul 11 malam itu melibatkan 89 pegawai pelbagai pangkat dengan kerjasama beberapa agensi lain.
Katanya, seramai 198 individu diperiksa membabitkan 73 warga asing dan 125 warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan, seramai 69 warga asing berusia antara 20 hingga 35 tahun ditahan melibatkan warganegara Thailand, Vietnam, Indonesia, Laos dan Bangladesh,” menurut kenyataan itu.
Menurutnya, antara kesalahan dikesan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa.
Tambahnya, ketika operasi itu dijalankan, terdapat cubaan melarikan diri serta menyembunyikan individu dan dokumen bagi melambatkan pemeriksaan.
“Kesemua yang ditahan telah ditempatkan di Depot Imigresen untuk siasatan lanjut,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, sebanyak 106 Ops Gegar dilaksanakan di seluruh negara setakat kelmarin, dengan penahanan 670 PATI dan 23 majikan.
Beliau berkata, JIM akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang imigresen. – MalaysiaGazette















