MELAKA – Kerajaan negeri menangguhkan proses perobohan sebuah tokong tidak berdaftar yang dibina di atas tanah kerajaan di Pantai Siring di sini bagi memberi laluan kepada proses pemurnian bahan-bahan sucinya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima nasihat daripada wakil komuniti bukan Islam.
Menurutnya, mereka memohon agar satu ritual pemurnian dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil terhadap struktur berkenaan susulan terkait tulisan kalimah Allah semalam.

“Perkara suci yang ada pada agama mereka perlu kita hormati dan kita tangguhkan proses perobohan itu bagi membolehkan bahan-bahan suci mereka dibawa semula ke tempat penyembahan mereka yang lain.
“Selepas proses itu selesai, barulah pihak kerajaan bersama agensi terlibat akan laksanakan proses perobohan tempat penyembahan yang dibina di atas tanah kerajaan di tepi Pantai Siring ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai satu sesi taklimat bersama agensi berkaitan di Pantai Siring, di sini hari ini.

Hari ini, MalaysiaGazette melaporkan kalimah Allah dalam tulisan Jawi yang tertera di tokong berkenaan menggemparkan penduduk sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Penemuan kontroversi tokong di Jalan Jeti Anjung Batu- Pantai Siring, Serkam itu disedari sekumpulan pemancing malam tadi.
Pemeriksaan mendapati, tokong binaan batu yang terletak di kawasan hutan paya bakau menghadap pantai itu berada berhampiran tanah berpagar milik individu.
Ia dipercayai telah wujud sejak dua hingga tiga tahun lalu, namun tulisan kalimah ‘Allah’ dan ‘Bismillahirrahmanirrahim’ dalam tulisan Jawi hanya dikesan malam tadi.
Mengulas lanjut, Zaidi turut menyentuh isu penemuan tulisan kalimah Allah di beberapa bahagian sekitar kawasan berkenaan, termasuk pada struktur bangunan dan kemudahan awam berhampiran.
“Pihak berkuasa telah mengenal pasti individu yang dipercayai terlibat, namun difahamkan suspek berkemungkinan mengalami masalah kesihatan mental.
“Perbuatan ini jelas menyentuh sensitiviti agama dan kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















