JOHOR BAHRU – Kerja-kerja membaiki tiga lif di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor di sini yang rosak sejak Januari lalu akan dibaik pulih secara berperingkat bermula bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, buat permulaan satu daripada lif tersebut akan dibaiki terlebih dahulu pada 14 April ini, dan dijangka boleh digunakan semula pada 28 April ini.
“Proses baik pulih satu lif ini menelan belanja RM50,000 dengan kerja-kerjanya akan dimulakan seawal minggu hadapan.
“Ini bagi proses pemasangan alat ganti dan juga percubaan, tetapi, saya percaya dengan komitmen kontraktor dan pengalaman mereka, mereka berusaha untuk siapkan lebih awal jika tiada sebarang masalah teknikal lain,” katanya kepada pemberita selepas meninjau masalah tiga lif rosak tersebut, hari ini.
Terdahulu, Mohd Fared mengadakan pertemuan dan membincangkan isu kerosakan lif itu bersama Ketua Hakim Syarie Negeri Johor, Datuk Muhammad Khaldun Mohamad Sharif dan dihadiri Pengurusan Khidmat Pelanggan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor serta pihak kontraktor.
Semalam, portal ini melaporkan rungutan orang awam di bangunan berkenaan apabila ketiga-tiga lif awam itu rosak.
Mohd Fared berkata, operasi di jabatan itu sebenarnya berjalan seperti biasa dan terkawal dengan lif bomba dan tangga boleh diakses orang awam yang hadir berurusan di bangunan yang sudah berusia lebih 20 tahun itu.
“Tanpa disangka, pada awal Januari lalu, ketiga-tiga lif ini mengalami kerosakan pada waktu yang hampir serentak apabila terdapat orang awam yang berurusan mendapat khidmat di mahkamah ini, tersangkut dalam lif,” katanya.
Ketua Hakim Syarie dan pihak pengurusan bangunan, katanya, membuat keputusan untuk menutup tiga lif itu bagi mengelak perkara buruk dan berbahaya berlaku.
“Jadi, kita benarkan penggunaan lif bomba sementara menunggu lif ini siap dibaik pulih, tetapi apabila hanya satu sahaja lif yang beroperasi, pastilah ada sedikit kesesakan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kerja baik pulih bagi dua lagi lif yang rosak akan dibuka untuk tender bermula 14 April ini.
Katanya, bagi dua lif berkenaan, peruntukan RM200,000 sudah disediakan kerajaan negeri menerusi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor.
“Kita mendapat maklumat bahawa syarikat pengeluar alat ganti lif ini tidak lagi mengeluarkan alat ganti berkenaan, maka ia perlu diperoleh dari luar negara iaitu China, yang mana akan mengambil masa kira-kira dua bulan.
“Selewat-lewatnya kerja baik pulih dua lif lagi dijangka siap pada 27 Julai nanti,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pihak pengurusan bangunan mahkamah itu supaya menambah pemakluman mengenai kerosakan lif bagi memudahkan orang awam yang berurusan nanti.
“Mereka akan tambahkan banting-banting pemaklumat supaya lebih mesra orang awam,” katanya. – MalaysiaGazette
















