KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Kementerian Pendidikan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri mencari penyelesaian segera susulan laporan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran, Sabah terpaksa belajar di dalam ruang khemah.
“Perkara sebegini cukup mengesankan.
“Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama, dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Anwar merujuk kepada laporan berita yang memetik kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook yang menggesa Kementerian Pendidikan negeri dan Persekutuan supaya segera menangani nasib pelajar di SK Balaban Jaya di sini, yang dilaporkan mengikuti kelas dalam ruang pembelajaran sementara dan tidak sesuai.
Menurut Yun Fook, bilik darjah di sekolah itu kini termasuk khemah tanpa dinding dan koridor sebuah masjid, kerana sekolah tersebut masih belum mempunyai bangunan kekal yang lengkap.
Beliau berkata, pihaknya menerima aduan daripada ibu bapa yang bimbang keadaan itu menjejaskan keselesaan serta persekitaran pembelajaran murid.
Menurutnya, beliau dimaklumkan bahawa KPM telah memperuntukkan kira-kira RM2 juta bagi pembinaan bangunan sekolah kekal.
Bagaimanapun, projek itu dijangka mengambil masa berikutan proses tender dan tempoh pembinaan, yang boleh berlanjutan beberapa bulan hingga setahun.
Sambil mengakui adanya peruntukan tersebut, Yun Fook menggesa langkah interim segera diambil bagi menangani keperluan mendesak pelajar.
“Saya menggesa Kementerian Pendidikan atau Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri untuk mengambil tindakan segera dengan menyediakan bilik darjah kabin sementara sebagai langkah sementara,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik portal Borneo Post online hari ini. – MalaysiaGazette
















