PASIR GUDANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menahan seorang pemilik kedai makan kerana menyeleweng minyak masak peket bersubsidi di Taman Megah Ria, Masai di sini, kelmarin.
Pengarah KPDN Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan dan maklumat awam, KPDN Johor dengan kerjasama KPDN Melaka sebelum membuat serbuan kira-kira pukul 3 petang.
“Pegawai penguat kuasa KPDN mengesan kegiatan pemilik premis terbabit yang memindahkan minyak masak peket bersubsidi ke dalam botol untuk kegunaan perniagaan.
“Difahamkan, tindakan itu bertujuan mendapatkan bekalan minyak masak pada harga rendah sebelum digunakan dalam operasi memasak di premis berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa peralatan seperti gunting, corong dan botol yang dipercayai digunakan khusus bagi menjalankan kegiatan tersebut.
“Lebih mengejutkan, premis itu juga didapati menyimpan barang kawalan berjadual termasuk 120 kilogram (kg) gula, minyak masak paket (51kg) dan tepung gandum (200kg) tanpa permit yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lilis Saslinda berkata, susulan pembongkaran tersebut, seorang lelaki yang merupakan pengurus premis terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, semua barang kawalan terbabit bersama-sama peralatan yang digunakan disita untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melibatkan penyelewengan barang bersubsidi yang dikhaskan untuk kegunaan isi rumah. – MalaysiaGazette
















