Senator Dr. Zulkifli Hasan bersalaman dengan petugas jemaah haji pada Majlis Pelepasan Petugas Haji 1447H/2026M ke Tanah Suci (Advance Party 1) di Sepang, Selangor. 11 APRIL 2026.

SEPANG – Pertikaian mengenai penglibatan wanita dalam berjihad perlu diperjelas menerusi pandangan pihak berautoriti termasuk Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, pelbagai pandangan diberikan oleh ramai pihak namun sebarang perbezaan pendapat perlu dirujuk kepada pihak yang mempunyai autoriti.

Ujar beliau, pertentangan pendapat perlu dijelaskan institusi agama bagi mengelakkan kekeliruan terhadap golongan wanita yang berjihad.

“Bila ada perbezaan pandangan ini, sudah pasti ada yang akan mendamaikannya dengan melihat dari kaca mata secara umum dengan merujuknya kepada jabatan mufti,” ujarnya kepada wakil media selepas Majlis Pelepasan Petugas Haji Musim Haji 1447H/2026M ke Tanah Suci (Advance Party 1) di sini hari ini.

Seramai 141 petugas jemaah haji berlepas ke Arab Saudi hari ini melalui penerbangan pertama bagi memastikan segala persiapan operasi haji musim ini dilaksanakan dalam keadaan terbaik.

Beliau mengulas pendapat ramai yang mempertikai golongan wanita melaksanakan jihad seperti yang diperkatakan dalam media sosial.

Zulkifli ditanya tindakan netizen yang mempertikai penyertaan beberapa selebriti tanah air wanita dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0. yang berlepas beberapa hari lalu.

Rata-rata mempersoal tindakan selebriti berkenaan yang mengulangi misi kemanusian tersebut walhal ada yang telah berumahtangga dan mempunyai anak kecil.

Sementara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut memberikan teguran susulan isu berkaitan kenyataan melibatkan isteri yang keluar berjihad.

Dalam perkongsian di media sosial, Mohd. Asri atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza menasihatkan semua pihak supaya berhati-hati memilih perkataan khususnya yang melibatkan perkara sensitif berkaitan peranan wanita dalam Islam.

“Berhati-hati memilih perkataan, asalkan wanita tidak didedahkan kepada bahaya perang atau apa-apa bahaya tanpa keperluan. Lelaki pula hendaklah sentiasa melindungi keselamatan isteri dan anak-anak khususnya perempuan,” ujarnya dalam laman Facebook. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast