KUALA LUMPUR – Prebet Muhammad Amirul Raziq Rosafindi, 24, yang parah dipercayai dipukul Koperal di dalam kem menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di hospital di Temerloh, Pahang hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, perkara itu disahkan bapa mangsa, Rosafindi Tambi Chik, 49, ketika dihubungi.
“Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya sebentar tadi pada jam 9.45 pagi. Jenazah akan dikebumikan di Pusara Damai Felda Sungai Kelamah, Gemas di Negeri Sembilan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang anggota tentera berusia 24 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri manakala enam lagi rakan setugas mengalami kecederaan selepas dipercayai dipukul dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam di kawasan kem.
Muhammad Amirul Raziq parah dipercayai dipukul suspek berpangkat Koperal disyaki berpunca ketidakpuasan hati berhubung kerja pembersihan stor senjata pada 31 Mac.
Minggu lalu, Tertuduh, Sukry Tasu, 37, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Bentong atas tujuh pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tujuh anggota tentera lain selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Aiman Azahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bagi pertuduhan pertama dan RM2,000 bagi setiap enam pertuduhan lain dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette
















