Razeef Rakimin. - Foto: Portal Suara Keadilan

KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan perlu segera menunaikan kewajipan pembayaran 40 peratus hasil kepada Sabah sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tuaran, Razeef Rakimin berkata, sebarang penangguhan yang berlarutan tanpa penyelesaian jelas hanya akan menghakis kepercayaan rakyat Sabah terhadap komitmen Kerajaan Pusat.

Menurutnya, ramai memahami kerajaan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang dilihat sangat keras apabila menyatakan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar tanggungjawab perlembagaan sejak 1974.

Malah, Razeef yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Sabah turut bersetuju kerana tuduhan berat itu turut ditujukan kepada Tun Mustapha Harun; Tun Fuad Stephens; Tan Sri Pairin Kitingan dan semua pemimpin Sabah.

“Namun, jika komitmen Perdana Menteri sebelum ini dengan jelas menyatakan rayuan tidak melibatkan pembayaran 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah, maka penangguhan ini tidak patut dijadikan alasan untuk tidak melaksanakan pembayaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Razeef, walaupun terdapat rayuan di Mahkamah Rayuan berkaitan beberapa keputusan Mahkamah Tinggi yang melibatkan “tahun-tahun hilang” (1974–2021), namun perkara tersebut tidak seharusnya menghalang usaha untuk menyemak dan melaksanakan bayaran 40 peratus bagi tahun-tahun semasa.

Katanya, hak 40 peratus itu bukan sekadar tuntutan politik, tetapi merupakan hak perundangan dan asas kepada pembangunan negeri Sabah yang telah sekian lama ketinggalan dalam pelbagai aspek infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.

“Kelewatan berterusan hanya akan memperdalam jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung,” katanya.

Ujar beliau, Kerajaan Persekutuan harus menunjukkan kesungguhan politik yang nyata dengan menetapkan garis masa yang jelas serta pelan tindakan konkrit bagi melaksanakan pembayaran tersebut.

“Rakyat Sabah tidak lagi mahu mendengar janji, tetapi mahu melihat tindakan yang boleh diukur dan dipertanggungjawabkan.

“Kita tidak mahu keputusan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan ini membebankan dan memberi kesan buruk kepada kerajaan Sabah,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast