Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli. Foto MUHAIMIN MARWAN, 27 OGOS 2025

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) menyeru orang ramai memanfaatkan sepenuhnya kemudahan perkhidmatan digital yang disediakan bagi melaksanakan urusan berkaitan tanpa perlu hadir ke kaunter, bagi mengurangi impak kenaikan kos sara hidup susulan konflik Asia Barat.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pendekatan `urusan di hujung jari’ itu bukan sahaja memudahkan pelanggan, malah merupakan langkah praktikal yang dapat membantu rakyat menjimatkan kos petrol, mengurangkan masa perjalanan serta mengelakkan kesesakan di pejabat JPJ.

Jelasnya, sebanyak 33 jenis urus niaga boleh dilaksanakan melalui Portal Rasmi JPJ di www.jpj.gov.my, manakala 16 jenis urus niaga lagi boleh diakses menerusi aplikasi MyJPJ.

“Orang ramai digalakkan untuk menggunakan platform ini bagi urusan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal.

“JPJ kekal komited dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui peluasan penggunaan platform digital seperti Portal Rasmi JPJ dan aplikasi MyJPJ, selaras dengan aspirasi Kerajaan ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, tambah beliau, usaha itu turut menyokong inisiatif penjimatan penggunaan bahan api dalam kalangan rakyat.

“Pendekatan ini bukan sahaja menyokong agenda penjimatan tenaga negara, malah memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang lebih pantas, mudah dan mesra rakyat,” katanya.

Terdahulu, ujar beliau, JPJ mengambil maklum akan situasi global semasa berkaitan bekalan dan harga pasaran petroleum susulan ketegangan yang berlaku di Asia Barat.

Menurutnya, konflik yang berlarutan melebihi sebulan itu telah memberi tekanan kepada pasaran global memandangkan kira-kira 20 peratus bekalan petroleum dunia melalui kawasan tersebut, sekali gus menyebabkan peningkatan ketara harga minyak mentah dunia dan memberi kesan langsung kepada harga petroleum di Malaysia. –

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast