Foto: Ihsan Maritim Malaysia

KUALA LUMPUR – Cubaan memindahkan kira-kira 700,000 liter minyak diesel secara haram berjaya dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang apabila menahan dua kapal tangki bersama 22 kru dalam satu operasi di perairan Bagan Ajam, malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tindakan itu diambil hasil maklumat risikan yang diterima seawal pukul 10.45 pagi berhubung pergerakan mencurigakan dua kapal dalam keadaan bersauh di lokasi berkenaan.

Menurutnya, susulan maklumat tersebut, satu Ops Bersepadu segera digerakkan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang sebelum sebuah bot peronda Maritim Malaysia dihantar ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.

“Pemeriksaan mendapati, kedua-dua kapal berada dalam keadaan bergandingan dan disyaki sedang menjalankan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal (ship-to-ship transfer) tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto: Ihsan Maritim Malaysia

Beliau turut memaklumkan, hasil pemeriksaan lanjut mendapati aktiviti tersebut melibatkan pemindahan minyak diesel Euro 5 dengan anggaran sebanyak 700,000 liter, manakala keseluruhan rampasan minyak dianggarkan mencecah 800,000 liter.

Menurutnya, operasi itu turut membawa kepada penahanan 22 kru terdiri daripada warga Malaysia, Myanmar, Rusia, Filipina dan Indonesia yang berada di atas kedua-dua kapal berkenaan.

Ujarnya, nilai keseluruhan dianggarkan mencecah RM2.33 bilion, menjadikan kes itu antara tangkapan berprofil tinggi di perairan negara pada tahun ini.

Jelasnya, nilai tersebut merangkumi kedua-dua kapal tangki yang telah disita masing-masing bernilai RM2.32 billion dan RM2.89 juta serta muatan diesel Euro 5 yang cuba diseludup dianggarkan bernilai RM5.43 juta.

Foto: Ihsan Maritim Malaysia

“Kes disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(k) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

“Kesalahan ini boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 ke atas setiap vesel,” katanya.

Tambah beliau, siasatan turut dijalankan di bawah Akta Kastam 1967 berikutan kegagalan mengemukakan dokumen berkaitan pemindahan minyak serta pengisytiharan kargo.

Ujarnya, kesemua kru dan kapal yang ditahan kemudiannya dibawa ke jeti sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

“Maritim Malaysia akan terus memperketat rondaan dan pemantauan di perairan negara bagi membanteras aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast