Menteri Wilayah, Hannah Yeoh bergambar bersama peserta pada program Putrajaya Aktif ketika di Dataran Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 12 APRIL 2026.

PUTRAJAYA – Putrajaya dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program perintis sukan kos rendah bagi menangani isu obesiti dalam kalangan kanak-kanak menerusi kelas sepak takraw dan lompat tali yang akan dijalankan sepanjang tahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, berkata inisiatif itu menjadi langkah awal membentuk gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak bandar tanpa memerlukan perbelanjaan besar.

Menurut beliau, kelas tersebut akan diadakan dua kali setiap bulan iaitu pada minggu kedua dan minggu keempat, melibatkan 50 pelajar bagi setiap sesi di empat lokasi sekitar Putrajaya.

“Hari ini kita melancarkan kelas untuk kanak-kanak di Putrajaya khasnya untuk sepak takraw dan lompat tali. Kenapa sepak takraw dan lompat tali?

“Kerana dua permainan ini tidak perlukan perbelanjaan yang besar dan kanak-kanak boleh praktis sendiri di rumah,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Putrajaya Aktif di Dataran Putrajaya.

Beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan usaha memerangi obesiti kanak-kanak dapat digerakkan secara lebih menyeluruh dan bersepadu.

Tambahnya, kerjasama itu juga melibatkan usaha mendapatkan data berkaitan kanak-kanak obes di Putrajaya bagi memperluaskan capaian program pada masa hadapan.

“Kelas yang diperkenalkan ini adalah untuk membantu melawan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di Putrajaya.

“Mungkin kita kena hubungi ibu bapa mereka untuk tengok bagaimana kita boleh peluaskan lagi kelas ini,” jelasnya.

Beliau menegaskan program tersebut akan dipantau terlebih dahulu sebelum diperluaskan ke kawasan lain termasuk Kuala Lumpur sekiranya menerima sambutan menggalakkan.

“Kalau Kuala Lumpur mempunyai minat yang sama, juga kita akan minta mereka buat. Tetapi yang ini saya nak pantau dulu untuk pastikan tak ada drop out rate,” katanya.

Tambah beliau, inisiatif berkenaan diharap dapat menjadi model bandar sihat yang boleh diperluaskan ke wilayah lain sekiranya terbukti berkesan dalam meningkatkan tahap aktiviti fizikal kanak-kanak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast