KUANTAN – Akibat gelap mata dengan janji keuntungan pelaburan segera, seorang jurujual kerugian lebih RM400,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud melalui penipuan atas talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, lelaki berusia 44 tahun itu pada awalnya dihubungi oleh individu tidak dikenali melalui aplikasi WhatsApp pada 17 Disember tahun lepas.
Katanya, suspek menawarkan peluang pelaburan dikenali sebagai Growth Investment yang menjanjikan keuntungan sebanyak 10% dalam tempoh 30 minit.
“Mangsa kemudiannya dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp sebelum diarahkan untuk memuat turun satu aplikasi pelaburan melalui pautan yang diberikan serta mendaftar sebagai ahli pelaburan.
“Sepanjang tempoh dari 10 Februari 2026 hingga 3 April 2026, mangsa telah membuat sebanyak 11 transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank yang berbeza dengan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM427,000,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Yahaya, mangsa mengeluarkan wang simpanannya dan menjual tanah bagi memenuhi keperluan melabur di platform terbabit.
Namun, beliau berkata, mangsa hanya menerima keuntungan sekali sahaja pada peringkat awal pelaburan iaitu RM23,000.00 sebelum tidak lagi menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan.
“Mangsa kemudian menyedari telah ditipu dan tampil membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat dan disarankan untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon melalui portal Semak Mule di https://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi.
Selain itu, orang awam yang mengesyaki diri mereka menjadi mangsa penipuan juga diminta untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi mendapatkan bantuan segera. – MalaysiaGazette
















