Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan. Foto SADIQ SANI, 25 FEBRUARI 2026

PUTRAJAYA – Rakyat negara ini diajak untuk memberi lebih tumpuan kepada usaha solidariti terutama melibatkan misi kemanusiaan antarabangsa menerusi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hassan berkata, sokongan dan doa rakyat amat penting bagi memastikan misi berkenaan berjalan lancar serta mencapai objektif ditetapkan.

“Kita mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama bersolidariti dan mendoakan agar misi ini dipermudahkan serta berjaya,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Serahan Sumbangan Aidilfitri Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di sini, hari ini.

Zulkifli menambah, penglibatan rakyat Malaysia dalam misi bersifat universal itu merupakan sesuatu yang membanggakan negara.

Menurut beliau, pendekatan berteraskan kebajikan, integriti dan solidariti perlu terus diperkukuh bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dapat dipelihara secara berterusan.

Kelmarin, peserta GSF 2.0 memulakan pelayaran dari Pelabuhan Barcelona menuju ke Gaza kira-kira pukul 1 tengah hari waktu tempatan (7 malam waktu Malaysia).

Ribuan penyokong dari pelbagai negara berhimpun di Moll de la Fusta bagi mengiringi pelepasan misi berkenaan yang bertujuan memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Laungan solidariti untuk Palestin turut bergema dalam kalangan hadirin.

Antara peserta dari Malaysia ialah wartawan veteran yang juga aktivis kemanusiaan, Zainal Rashid Ahmad.

Turut hadir pada majlis pelepasan ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga Menteri Penaung misi; Duta Besar Malaysia ke Sepanyol, Haznah Md Hashim serta Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby Alim Araby.

GSF 2.0 menghimpunkan gabungan antarabangsa yang bertekad memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza sebagai respons terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah itu.

Misi berkenaan melibatkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast