Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup hadir pada Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang. Foto MOHD ADZLAN, 07 APRIL 2026.

KUALA LUMPUR – Satu lagi operasi pembenihan awan (OPA) akan dilaksanakan minggu depan di Melaka dan Johor, berikutan keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata kementeriannya melalui Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memantau rapat situasi cuaca semasa yang mencatatkan peningkatan suhu hingga 37.5 darjah Celcius dalam tempoh peralihan monsun.

“Minggu lepas, kita telah memulakan operasi pembenihan awan di beberapa negeri dan kita melihat hasil yang memberangsangkan. Bagaimanapun, peningkatan paras air sungai masih belum mencapai tahap diharapkan.

“Oleh itu, kita telah menerima permohonan untuk melaksanakan satu lagi operasi pembenihan awan di Johor dan Melaka minggu depan sebagai langkah mitigasi susulan keadaan cuaca panas dan kering berterusan, yang dijangka hingga Mei dan Jun,” katanya kepada pemberita pada prapelancaran Minggu Kelestarian Antarabangsa (ISW) 2026 di sini hari ini.

Sebagai langkah mitigasi awal, kerajaan telah melaksanakan operasi pembenihan awan selamat empat hari bermula 6 April dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang menumpukan empangan utama di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang dan Johor, bagi membantu mengekalkan bekalan air untuk kegunaan domestik dan pertanian.

Sementara itu, Arthur berkata Malaysia terus berhubung rapat dengan negara jiran memandangkan keadaan kering berpotensi meningkatkan risiko jerebu rentas sempadan sekiranya berlaku kebakaran.

Beliau berkata pemantauan berterusan dan nasihat akan dikeluarkan dari semasa ke semasa mengikut perkembangan situasi. — BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast