KUALA LUMPUR – Kerajaan Persekutuan digesa mengambil langkah berani dengan membekukan serta-merta pelaksanaan projek-projek mega bernilai berbilion ringgit bagi mendepani iklim ekonomi dunia yang semakin tidak stabil.
Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib berkata, langkah itu perlu bagi memastikan negara mempunyai persediaan secukupnya terutama dalam mendepani risiko impak sistemik akibat pergolakan geopolitik di Asia Barat.
Menurutnya antara projek yang perlu dipertimbangkan untuk dibekukan pada ketika ini termasuklah projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
“Situasi di Asia Barat yang semakin meruncing dikhuatiri akan memberi kesan kepada rantaian bekalan global, kenaikan harga bahan api dan seterusnya merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.
“Dalam mendepani ketidaktentuan global ini, tumpuan kerajaan seharusnya terarah kepada pengukuhan fiskal negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat, bukannya menyalurkan dana besar kepada projek infrastruktur yang bersifat setempat serta belum mendesak,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Ismi berkata, projek mega yang diteruskan dalam keadaan kos bahan mentah tidak stabil hanya akan mengundang pembaziran dana awam.
“Kenaikan harga komoditi berpotensi mencetuskan peningkatan kos kontrak (variation orders) yang akhirnya membebankan kantung negara.
“Peruntukan berbilion ringgit tersebut lebih wajar dialihkan sebagai dana simpanan kecemasan atau bantuan langsung kepada sektor yang terjejas seperti pertanian, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta pengukuhan sekuriti makanan negara,” ujarnya.
Katanya lagi, rakyat peringkat akar umbi lebih mengharapkan kestabilan harga barang dan peluang pekerjaan yang mampan berbanding projek-projek mewah yang hanya menambah beban hutang negara dalam jangka masa panjang.
“Saya mendesak Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan untuk membentangkan pelan pemulihan ekonomi yang lebih komprehensif di Parlimen.
“Ia penting bagi memastikan Malaysia benar-benar bersedia menghadapi sebarang kemungkinan terburuk akibat konflik antarabangsa yang sedang berlaku.
“Jangan biarkan rakyat terus dihimpit, sementara dana negara terus ditumpukan kepada projek yang boleh ditangguhkan,” katanya. – MalaysiaGazette
















