Gambar tular menunjukkan mangsa rebah di lokasi kejadian.

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga tempatan ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh daripada kerusi ketika berada di sebuah kelab rekreasi di Jalan Boundry, Air Itam di sini, semalam.

Mangsa berusia 65 tahun itu dilaporkan tidak sedarkan diri dalam kejadian kira-kira jam 7.10 malam sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans pada jam 7.34 malam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit adalah pelanggan premis berkenaan dan dipercayai terjatuh daripada kerusi ketika sedang berhibur.

“Mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas terjatuh daripada kerusi di premis itu.

“Pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan yang mencurigakan, manakala siasatan di lokasi kejadian juga tidak menunjukkan unsur jenayah.

“Laporan bedah siasat yang dijalankan hari ini mendapati punca kematian adalah akibat saluran darah utama pecah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast