MUAR – Percubaan tiga lelaki melarikan diri dengan bot nelayan semasa dikejar bot peronda polis marin gagal apabila berjaya dipintas dan ditahan bersama-sama rokok seludup dalam Op Taring Gelora semalam.
Operasi tersebut yang dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di perairan Kuala Sungai Muar pukul 1 pagi selepas melihat bot dinaiki tiga suspek berkenaan yang dalam keadaan mencurigakan.
Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, tiga lelaki dewasa tempatan berusia 23 hingga 62 tahun tidak sempat melarikan diri dan berjaya diberkas.
“Hasil pemeriksaan pihaknya menemukan sejumah kotak berwarna coklat berisi rokok yang tidak bercukai. Ini melibatkan 7,000 karton rokok kretek jenama L.A. Bold.
“Selain itu sebuah bot nelayan kelas A yang menggunakan enjin jenama Fuso 120 HP dan satu unit telefon bimbit. Nilai keseluruhan rampasan RM2.282 juta,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Wilayah Dua di sini untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985.
Dalam pada itu beliau menggesa masyarakat terus menyalur maklumat kepada PPM Wilayah Dua berkenaan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.- MalaysiaGazette
Rokok- rokok tidak bercukai dirampas PPM Wilayah Dua dalam operasi di perairan Kuala Sungai Muar, Muar, semalam

















Macam² dan semakin ramai spesis yg suka benda haram, kerja haram dan makan hasil haram..paling menyedihkan bila melibatkan manusia yg mengaku dia Islam