Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah yang lain selepas menunaikan solat jumaat di Surau Bomba, Cyberjaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 APRIL 2026

CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua murid perlu dididik menjaga kebersihan termasuk membersihkan tandas sekolah.

Beliau menyifatkan amalan itu penting untuk membentuk disiplin dan tidak wajar dipertikaikan.

Menurutnya, tugas berkenaan boleh dilaksanakan oleh semua pelajar tanpa mengira latar belakang keluarga atau status sosial, selain menolak tanggapan bahawa ia membebankan.

“Tapi, saya faham ada juga segelintir ibu bapa yang membantah perkara itu di media sosial. Jadi saya nak bagi nasihatlah, semua anak-anak kita ini tanpa kecuali, bukan golongan bangsawan semua.

“Semua kita dalam tanggungjawab, tandas kita guna dan kita perlu bersihkan,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Bomba Cyberjaya, di sini hari ini.

Menurut beliau, tugas membersihkan tandas bukan sesuatu yang sukar, malah memerlukan kerjasama ibu bapa bagi melatih anak-anak menghargai tanggungjawab serta memahami nilai kerja.

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, kerja membersihkan tandas tidak seharusnya dilihat sebagai tugas hakiki tukang cuci semata-mata.

“Jangan dianggap itu kerja tukang cuci… seolah-olah mengesahkan wujudnya kelas dalam masyarakat,” katanya.

Sebelum ini, beliau mengarahkan semua sekolah menyediakan jadual mencuci tandas melibatkan pelajar sebagai langkah memastikan tahap kebersihan tandas sekolah sentiasa terjaga di samping membentuk jati diri pelajar.

Bagaimanapun, arahan itu menerima reaksi bercampur dalam kalangan ibu bapa, dengan sebahagian menyifatkannya membebankan dan berpendapat murid ke sekolah untuk belajar, bukan mencuci tandas. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast