Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Mahfuz Omar (kanan) dan Pengarah Urusan Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols (empat kanan hadapan) ketika sesi bergambar selepas melihat ladang cili di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 APRIL 2026

PUTRAJAYA – Kementerian Ekonomi menyasarkan seramai 500 hingga 600 penambahan peserta baharu di bawah Program Inisiatif Pendapatan Rakyat – Usahawan Tani (IPR-INTAN) tahun ini bagi memperluas peluang menjana pendapatan dalam kalangan kumpulan sasar.

Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sasaran itu dibuat berikutan kejayaan program tersebut yang bukan sahaja meningkatkan pendapatan peserta, malah menarik minat golongan muda.

Menurut beliau, ia juga selari dengan usaha kerajaan untuk terus memperkukuh agenda pembasmian kemiskinan.

“Pelaksanaan program itu bukan sahaja membuka peluang kepada peserta tetapi turut menitikberatkan penyediaan ekosistem lengkap termasuk sokongan agensi, kepakaran teknikal serta jaminan pembeli.

“Sasaran tambahan peserta ini supaya lebih ramai dapat terlibat dalam sektor ini dan meningkatkan pendapatan kehidupan mereka,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke Projek Inisiatif Pendapatan Rakyat-Usahawan Tani (IPR-INTAN), di sini hari ini.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir (tengah) bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang Mahfuz Omar (kanan) dan Pengarah Urusan Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols (dua kiri hadapan) ketika melihat ladang cili di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 APRIL 2026

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata, sehingga kini, program tersebut telah melahirkan lebih 2,300 peserta dengan nilai hasil terkumpul mencecah RM22 juta.

Menurutnya, pendekatan berasaskan ekosistem yang merangkumi penglibatan kerajaan, agensi serta rakan industri menjadi faktor utama kejayaan program itu selain komitmen peserta sendiri.

Pada masa sama, beliau memaklumkan projek ladang cili di Putrajaya yang kini memasuki musim kelima menunjukkan keputusan yang memberangsangkan.

Kata beliau, pendapatan peserta ketika ini mencecah sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan dan hasil terkumpul sekitar RM1.5 juta.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap pada sidang media selepas melihat ladang cili di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 APRIL 2026

Sementara itu, Akmal Nasrullah mengakui kerajaan ketika ini berdepan cabaran utama krisis tenaga global terutama dalam sektor perladangan dan pertanian di mana kos input baja yang semakin meningkat.

Beliau berkata, ia mengakibatkan kos pengeluaran turut naik dan pada masa sama mahu memastikan golongan petani negara ini kekal mendapat untung.

“Bila kita teliti sememangnya ada input yang akan memberi kepada kos sebenar penghasilan, contohnya adalah soal penggunaan bahan api diesel dan yang kedua adalah dari segi baja.

“Maka sebab itu dari segi baja adalah antara perkara yang paling awal kita bincang di dalam dalam MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara) untuk memastikan keterlangsungan bekalan itu,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir memetik cili semasa melawat Ladang Cili di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 17 APRIL 2026

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast